Tuesday, 24 January 2012

Dinasti Sri Wijaya Terakhir

Empayar Sri Wijaya adalah sebuah empayar paling gemilang di dalam sejarah Melayu. Pernah pada suatu ketika, puncak kekuasaan empayar ini meliputi sebahagian Indo-China, Segenting Kra, Tanah Melayu, Kepulauan Indonesia, Sebahagian Borneo sehinggalah Filipina. Empayar maritime ini akhirnya mengucup dan beransur lemah setelah ribuan ratusan tahun menahan asakan daripada negara tetangga, negara pesaing serta kuasa barat.

Cubaan penguasaan Kerajaan Siam Ayuthia yang wujud terkemudian sedikit sebanyak memberi kesan terhadap Empayar Sriwijaya. Kerajaan tersebut berjaya menguasai negeri-negeri di utara Tanah Melayu sehingga ke Segenting Kra. Bagaimana pun Kerajaan Siam Ayuthia telah runtuh dalam tahun 1767 akibat penguasaan Tai. Dalam masa yang sama juga Empayar Sri Wijaya juga semakin berpecah kepada negeri-negeri kecil yang melaksanakan pemerintahan sendiri.

Serangan dari Empayar Chola India terhadap pelabuhan Kedah tidak banyak menjejaskan Empayar Sri Wijaya, kerana pusat pentadbiran Sri Wijaya berada di sebelah Timur Tanah Melayu (Patani). Kedudukan ekonomi Kerajaan  Sri Wijaya semakin teguh di sebelah timur kerana pelabuhannya sangat strategik. Aktiviti perdagangan dengan China semakin rancak. Catatan bahawa Kerajaan Chola India menakluk Sri Wijaya adalah pembohongan sejarah kerana tiada bukti jelas terhadap dakwaan tersebut.

Punca kemerosotan Empayar Sri Wijaya bukannya kerana menjadi lemah akibat serangan Kerajaan Siam Ayuthia atau Empayar Chola India. Walaupun serangan tersebut telah memberikan sedikit tekanan kepadanya. Tetapi Empayar Sri Wijaya telah diteruskan menerusi penguasaan Empayar Melaka yang  muncul pada abad ke-14.

Negeri-negeri Melayu purba diperintah oleh raja-raja berketurunan Maharaja Sri Wijaya. Apabila munculnya Kerajaan Melaka, maka ia telah menyatukan kembali negeri-negeri berkenaan lalu membentuk Empayar Melaka menggantikan Empayar Sri Wijaya. Kemunculan kuasa Eropah seperti Sepanyol dan Amerika yang menguasai Filipina. Belanda, Portugis dan Inggeris pula melemahkan Kerajaan Melayu  di Tanah Melayu, Borneo dan Indonesia. Akhirnya kekuatan Kerajaan Melayu musnah setelah jatuhnya Empayar Melaka dan negeri-negeri orang Melayu telah diperintah sendiri oleh raja-raja masing-masing, tanpa ada kekuatan penyatuan di dalam sebuah empayar lagi.





Keturunan Raja-Raja Empayar Sri Wijaya yang memerintah Tanah Melayu juga telah ditakdirkan berakhir dalam abad ke-17. Raja-Raja dari keturunan Sri Wijaya yang memerintah Tanah Melayu seperti Kedah, Patani, Kelantan dan Melaka. Negeri Pahang, Perak dan Johor pula adalah dari berdarah Sri Wijaya melalui perkahwinan silang antara Raja-Raja Melaka, Majapahit, Kelantan, Pahang dan Johor.

Berakhirnya pemerintahan Melaka apabila negeri tersebut telah jatuh ke tangan Potugis pada tahun 1511. Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah I (1488 – 1511) telah memindah pentadbiran ke negeri Johor. Keturunan ini berakhir setelah mangkatnya Sultan Abdul Jalil Shah I pada tahun 1571.

Berakhirnya Kesultanan Melaka-Sri Wijaya pada 1571, diikuti oleh Pahang pada 1615, Perak (1627), Patani (1649), Kelantan (1677) dan Johor (1699). Setelah peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada 1699, maka berakhirlah keturunan Raja Melayu berdarah Sri Wijaya yang memerintah Tanah Melayu.

Negeri-negeri Tanah Melayu kemudiannya diperintah oleh Sultan-Sultan berketurunan ulama dari Samudra Pasai di Perak. Sultan-sultan berketurunan ulama dari Champa pula memerintah di Patani, Kelantan, Johor dan Pahang sehinggalah ke Tanah Jawa.

Jika Kesultanan Melayu purba bergelut mempertahankan kedaulatan negara bangsa dari ancaman bangsa lain, Kesultanan Melayu berketurunan ulama pula bergelut memperjuangkan agama dan bangsa dari dicabul oleh penjajahan kafir. Kesultanan Melayu Purba menyatukan kekuatan bangsa Melayu menerusi pembentukan empayar Melayu, Kesultanan Melayu berketurunan ulama ini pula telah menyatukan negeri-negeri Melayu menerusi perjuangan Islam tanpa memisahkan sempadan negeri….

No comments:

Post a Comment