Wednesday, 18 January 2012

Misteri Kesultanan Terengganu Purba




Ada pun pada menceritakan perihal cerita negeri Terengganu purba membuatkan kita seperti baru belajar sejarah. Di Mana sebelum ini Kesultanan Melaka dianggap bahawa kesultanan Melayu paling awal, manakala kisah keturunannya daripada Maharaja Empayar Sri Wijaya pula adalah seumpama dongengan. Begitulah juga sejarah Terengganu hanya seolah-olah baru  bermula pada abad ke-18, sedangkan sebelum itu telah lama wujud Kesultanan Islam Terengganu lebih dahulu lagi.
Meski pun kewujudan Batu Bersurat Terengganu yang menerangkan hal ehwal Islam di Terengganu, sejarah Terengganu sebelum abad ke-18 masih lagi bergantung kepada cerita-cerita lisan orang tua yang disampaikan kepada anak cucu mereka. Cerita lisan ini tidak begitu jelas seumpama asal usul nama negeri Terengganu.  Ada yang menyatakan nama negeri itu  berasal dari “taring anu” ada pula yang berkata “terang ganu” di samping “terang nu”. Walaupun yang paling masyhur ceritanya ialah “terang ganu” dan “terang nu”. Kedua-duanya menggambarkan bahawa pemuda dari Kelantan yang menyusuri Sungai Terengganu telah melihat sesuatu, sama ada pelangi (ganu) di waktu siang atau bulan pada waktu malam hari. Merujuk kepada sungai sebagai laluan utama, maka mereka menyebutnya sebagai “sungai terang nu” sebagai penghubung antara destinasi. Manakala ‘taring ganu’ merupakan kisah versi baru yang mengaitkan Sultan Umar (1839 – 1876) Terengganu melihat taring gajah? . Sultan Umar di zaman yang sudah moden tidak kenal taring gajah adalah sesuatu yang meragukan…. Sedangkan nama Terengganu telah wujud bergenerasi sebelum baginda lagi….
Kesultanan Terengganu sekarang hanya bermula pada tahun 1708, di mana Tun Zainal Abidin I ibni Tun Habib Abdul Majid (1708 – 1733) telah diberi kuasa mentadbir satu kawasan di Terengganu, sehinggalah sekarang keturunan baginda memerintah negeri Terengganu.


Dalam menjejaki Salasilah Kesultanan Melayu Purba, terdapat nama 2 orang raja yang memerintah negeri Terengganu sekitar tahun 1500 (hampir 200 tahun lebih awal daripada Tun Zainal Abidin). Menurut salasilah tersebut, Sultan Mansur Syah ibni Sultan Iskandar Syah (Raja Kelantan 1467 – 1522) telah mengahwini puteri Raja Terengganu sebagai isteri kedua. Perkahwinan tersebut telah dikurniakan seorang putera yang kemudiannya menggantikan nenda baginda sebagai Raja Terengganu. Putera tersebut bernama Raja Muhammad dan menaiki tahta Terengganu dengan gelaran Sultan Muhammad. Kemudian Sultan Muhammad berputerakan Raja Ahmad dengan gelaran Sultan Ahmad setelah menaiki tahta menggantikan ayahanda baginda. Sultan Ahmad pula telah mengahwini Puteri Kamala Dewi ibnu Sultan Mahmud Shah I (Sultan Melaka terakhir, 1488 – 1511). Perkahwinan tersebut telah melahirkan Raja Umar yang menjadi Raja Kelantan (1565 – 1670) dan kemudian ditabal sebagai Sultan Johor (1670 – 1597) dengan gelaran Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II.
Rujuk Kesultanan Johor Purba:

Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 (702 Hijrah) mencatatkan terdapat nama Raja Mandalika yang memerintah Terengganu serta menjalankan pemerintahan Islam. Sejarah negeri Terengganu pula ada menyebut terdapat dua nama dalam kerabat Kesultanan Terengganu purba bernama Megat Panji Alam (dibunuh Hang Tuah sekitar tahun 1480 – 1500) dan Tun Telanai (dibunuh Seri Akar DiRaja Pahang 1475). Tidak dapat dipastikan sama ada Megat Panji Alam dan Tun Telanai adalah berketurunan Raja Mandalika atau masih mempunyai pertalian darah kerana di dalam catatan salasilah di atas, didapati bahawa berlaku perkahwinan puteri Raja Terengganu dengan Raja Kelantan. Jika salasilah ini tepat, ini bermakna Raja Terengganu purba juga mempunyai darah berketurunan Maharaja Sri Wijaya melalui Kesultanan Kelantan. Siapakah Raja Mandalika?.. Wallahu a’lam. Walaupun Keturunan  Tokku Pulau Manis dikaitan dengan Raja Mandalika, tetapi jarak masa lebih kurang 200 tahun antara Raja Mandalika (1303) dan Syeikh/Sharif Muhammad (lingkungan 1590) sukar untuk membuktikan dakwaan tersebut.
Misterinya Raja-Raja yang memerintah Terengganu sebelum pemerintahan  keturunan Tun Zainal Abidin I adalah sukar terjawab. Insya Allah segala misteri tersebut akan terjawab apabila tiba masanya kebangkitan Islam berjaya menghapuskan kebathilan.

2 comments:

  1. PRINSIP BERPEGANG PADA HUKUM TUHAN

    Mata terpandang…hati melayang…
    Hati melayang mencari tenang…
    Tenang memanggil jiwa yang malang…
    Malangnya diri bila terpandang…

    Bila terpandang terasa sayang…
    Terasa sayang kasih yang datang…
    Kasih yang datang tidak seorang…
    Datang bersama si bayang – bayang…

    Datang bersama si bayang – bayang…
    Si bayang – bayang berupa orang…
    Orangnya cantik nafsu binatang…
    Nafsu binatang memikat jantan…

    Nafsu binatang memikat jantan…
    Memikat jantan menguji iman…
    Menguji iman diri bertuhan…
    Ganjaran yang datang tidak dapat ditahan…

    Tak dapat ditahan ganjaran yang datang…
    Ganjaran yang datang dosa dihalang…
    Jadilah kalian hamba yang matang…
    Tumbuhnya tidak seperti lalang…

    Tumbuhnya tidak seperti lalang…
    Semakin dihalang…semakin teransang…
    Semakin teransang hebat berperang…
    Kandungi kasih lahirnya sayang…

    Kandungi kasih lahirnya sayang…
    Lahirnya sayang pada yang matang…
    Pada yang matang bicara berkumandang…
    Bicara berkumandang resmi alam…

    Resmi alam bicara berkumandang…
    Jangan dibimbang laksamana perang…
    Laksamana perang prinsip berpegang
    Prinsip berpegang pada hukum tuhan…

    ReplyDelete
  2. British mula berkuasa di Trengganu pada tahun 1708.

    ReplyDelete