Monday, 13 February 2012

Tun Telanai – Pemerintah Terengganu Purba


Bendera Lama Terengganu (sebelum 1932)

Di dalam cerita-cerita berkaitan pemerintah yang pernah memerintah negeri Terengganu di zaman purba kala, maka muncul nama-nama seperti Megat Panji Alam, Sultan Muhammad Al-Baghdadi, Tun Telanai serta ramai lagi. Catatan kali ini akan memberikan tumpuan kepada asal usul keturunan Tun Telanai yang pernah memerintah Terengganu pada abad ke-15.
Sultan Melaka, Sultan Mansur Shah I (1459 – 1477) telah melantik Tun Telanai sebagai Utusan Khas Kerajaan Melaka kepada Siam Ayuthia bagi mengekang kerakusan Raja Ayuthia menyerang dengan niat menakluki negeri Melaka. Kejayaan Tun Telanai dalam membuat rundingan dengan Siam Ayuthia tersebut  telah menyebabkan Sultan Mansur Shah I melantik beliau sebagai wakil Sultan Melaka memerintah negeri Terengganu. Ketika itu negeri Terengganu berada di bawah pemerintahan Empayar Melaka.


Daripada catatan salasilah keturunan Bendahara Kesultanan Melaka, didapati bahawa Tun Telanai adalah berketurunan Bendahara,  di mana datuk nenek beliau  masih mempunyai pertalian darah yang rapat dengan Maharaja Empayar Sriwijaya. Tun Perpatih Permuka Berjaya adalah putera kedua Batara Seri Tribuana, Maharaja Sang Utama Parameswara (1324 – 1372) dan kekandanya ialah Paduka Seri Bikrima Wira DiRaja iaitu Raja Temasek, 1386 – 1399. Tun Perpatih Permuka Berjayar adalah adik kepada Raja Temasek dan juga Bendahara kepada Raja Temasek tersebut. Anakanda beliau ialah Tun Perpatih Tulus merupakan Bendahara Melaka di zaman Maharaja Parameswara (1399 – 1413). Ini menunjukkan bahawa Tun Perpatih Tulus merupakan saudara sepupu dengan Maharaja Parameswara, Raja Melaka pertama.
Seri Amar DiRaja pula ialah putera kedua Tun Perpatih Tulus yang dicatatkan di dalam sejarah China sebagai ketua rombongan wakil Raja Melaka ke Nanking pada tahun 1412. Tun Perpatih Sendang (Bendahara Seri Wak Raja) merupakan putera kedua Tun Perpatih Tulus, dilantik menjadi Bendahara Melaka menggantikan kekandanya Tun Hamzah (Seri Amar DiRaja) semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1445 – 1449).
Tun Perak (Bendahara Paduka Raja) adalah putera sulung Tun Perpatih Sendang. Tun Perak bersama-sama Hang Tuah, Laksamana Bentan Wan Demali ibni Sayyid Ali Nurul Alam serta tentera Islam dari Acheh, Bentan, Kelantan dan Patani telah melakukan serangan balas sehingga ke Ayuthia yang melumpukan kerajaan Siam Ayuthia pada tahun 1445. Serangan balas tersebut diketuai oleh Sayyid Ali Nurul Alam (Sultan Qunbul) ibni Sayyid Hussein Jamadil Kubro bagi membalas serangan Siam Ayuthia terhadap negeri Kelantan-Majapahit II serta negeri Melaka sebelumnya.
Tun Perak pula melahirkan Tun Telanai yang merupakan putera sulung daripada lapan beradik. Tun Telanai telah dilantik sebagai Utusan Khas Kerajaan Melaka ke Siam dan kemudiannya menjadi wakil Sultan Melaka memerintah negeri Terengganu.
Setelah Melaka dan negeri-negeri di bawah naungannya berjaya melumpuhkan Kerajaan Siam Ayuthia, Empayar kerajaannya semakin kuat dan digeruni oleh semua musuh-musuhnya. Ketika itu juga, negeri Pahang yang masih di bawah takluk Kerajaan Siam Ligor telah dikalahkan oleh Melaka. Puteri Maharaja Dewa Surya pemerintah Siam Ligor,bernama Puteri Wanang Seri Lela Wangsa, telah dikahwini oleh Sultan Mansur Shah I yang kemudiannya melahirkan Sultan Muhammad Shah I, Sultan Pahang pertama (1470 – 1475).
Sultan Muhammad Syah I, Sultan Pahang yang pertama tersebut telah menitahkan hulubalang baginda bergelar Seri Akar DiRaja supaya membunuh Tun Telanai. Punca titah itu diturunkan masih menjadi tanda tanya kerana terdapat dua versi yang melibatkan Tun Telanai. Setengah riwayat menyatakan bahawa Tun Telanai enggan mengangkat sembah kepada Sultan Muhammad Shah I dengan alasan bahawa hanya Sultan Melaka sahaja yang layak diangkat sembah disebabkan daulat Sultan Melaka melebihi Sultan Muhammad I yang berdarah campuran Siam! Pendapat yang kedua pula menyatakan bahawa Tun Telanai telah mengeluarkan ungkapan “Sultan Melaka hanya berada dicelah kelangkang beliau sahaja”. Bagaimana pun dipercayai bahawa punca Tun Telanai bersikap demikian kerana sifat beliau yang terlalu marahkan Sultan Muhammad I yang telah membunuh saudaranya yang bernama Tun Besar, yang secara tidak sengaja menjatuhkan dastar baginda semasa bermain sepak raga. Disebabkan Sultan Mansur terlalu sayangkan Sultan Muhammad I, maka putera baginda tersebut dirajakan di Pahang tanpa melaksanakan hukuman bunuh seperti termaktub di dalam undang-undang negeri Melaka.


Makam Tun Telanai Di Bukit Keledang, Kuala Terengganu


Seri Akar DiRaja yang juga sepupu Tun Telanai telah dihantar oleh Sultan Muhammad I ke Terengganu untuk melaksanakan titah Sultan Pahang tersebut. Tun Telanai pada mula menolak titah Sultan Muhammad I, dengan menyatakan bahawa hulubalang tiadalah layak membawa titah kepada orang yang berpangkat sama dengan hulubalang. Orang yang layak membawa titah diraja mestilah lebih tinggi daripada pangkat Tun Telanai kerana beliau juga adalah hulubalang serta wakil Sultan Melaka memerintah Terengganu. Mendengar sanggahan Tun Telanai tersebut maka Seri Akar DiRaja menghunuskan senjatanya dan berlakulah pergelutan. Tun Telanai telah tersilap langkah yang menyebabkan beliau terkorban ditangan sepupunya sendiri, pada 17 September 1475. Jenazah beliau kemudian dimakamkan di Bukit Keledang, Kuala Terengganu.


No comments:

Post a Comment