Monday, 28 May 2012

Faqih Ali al-Malbari – Ulama dan Panglima Patani





Ada pun ramai pengkaji sejarah ulama Patani yang dilahirkan pada akhir abad ke-16 Masihi ini. Bermula dengan ringkasan Ceritera Kelantan yang telah beberapa kali disalin tulis itu munculnya pandangan bahawa Faqih Ali al-Malbari itulah Andi Ali. Beliau dikatakan adalah seorang putera  Raja Bugis dari Sulawesi yang merantau ke Patani. Seterusnya keturunan beliaulah yang menjadi Sultan Kelantan bermula sehingga sekarang.


Salah satu kajian bersumberkan Ringkasan Cetera Kelantan


Kisah yang memperkatakan bahawa Faqih Ali al-Malbari ini berketurunan Bugis ini didapati bercanggah dengan kisah dari Patani mahu dari jurai keturunan tertentu beliau sendiri di Kelantan. Banyak pihak menjadi buntu untuk mentahqiq keturunan masing-masing apabila tiba pada nama Faqih Ali al-Malbari atau pun Syeikh Faqih Ali al-Abasi. Mungkinkah terdapat rahsia besar kenapa keturunan Sultan Kelantan dikatakan berdarah Bugis?
Faqih Ali al-Malbari adalah seorang ulamak yang juga Panglima Agung Tentera Patani bergelar Datuk Temenggung Seri Paduka. Hal ini telah disahkan oleh Pengkaji Ulama Nusantara dari Khazanah Fathaniyyah, Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir di dalam tulisan serta pembentangan kajiannya dengan beberapa pihak berkaitan. Pengkajian Ustaz Wan Mohd Shaghir itu bertepatan dengan pengkajian penulis sendiri.



Nama sebenar beliau ialah Nik Ali, putera kepada Datuk Nik Mustaffa, seorang Raja Negeri Jambu di Patani. Datuk Nik Mustafa yang kemudiannya melepaskan jawatan sebagai Datu Jambu (Raja Jambu) kerana ingin meneruskan perjuangan sebagai Panglima Perang Champa menentang penjajahan Vietnam ke atas  Champa. Setelah berhasil merebut kembali hampir keseluruhan wilayah Champa daripada Vietnam, beliau telah ditabalkan sebagai Raja Champa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah. Penabalan Sultan Abdul Hamid Syah adalah kesinambungan perjuangan datuknya, Sultan Wan Abdullah yang berjuang mempertahankan kesucian agama dan penganutnya di Champa.
Jadi jelas di sini bahawa Faqih Ali al-Malbari adalah anak bumi Patani, yang mana beberapa tempat di sana telah diteroka dan dibuka oleh datuk nenek beliau, semenjak hampir dua ratus tahun sebelum kelahirannya lagi. Di Patani, Faqih Ali telah mempelajari ilmu agama dengan guru-guru agama tempatan. Setelah meningkat remaja, beliau telah dihantar mendalami ilmu agama di negeri Malabar di India. Apabila tamat pelajaran, beliau telah menumpang kapal dagang lalu singgah di Johor. Di sana beliau membantu pedagang serta penduduk sekitar Johor berulang alik ke Riau. Oleh kerana Faqih Ali cekap mengemudi tongkang di perairan, maka beliau dijoloki dengan gelaran Nakhoda Wangkang. Walaupun cekap menongkah golombang di lautan, sifat terpujinya masih terpelihara lantaran beliau sentiasa beramal dengan ilmu agama yang dipelajarinya. Atas keluhuran sifat itulah masyarakat Bugis di Johor memanggilnya sebagai Andi’ Ali.
Di Johor, Faqih Ali menumpang di rumah Datuk Laksaman Kota Tinggi, yang masih mempunyai pertalian kekeluargaan dari sebelah buyutnya. Datuk Laksamana pula mengahwinkan puterinya bernama Wan Tija. Perkawinan tersebut telah dikurniakan beberapa orang putera dan puteri.
Pada kira-kira tahun 1640, Faqih Ali al-Malbari bersama anak isterinya pulang ke Patani. Di Patani beliau berkahwin pula dengan Che Dewi binti Dato’ Seri Biji DiRaja To’ Majid. Berita kepulangan Faqih Ali al-Malbari lama kelamaan sampai jua kepada pengetahuan Raja Kuning, Raja Patani (1635 – 1688).  Beliau telah dilantik oleh Raja Kuning sebagai Panglima Agung Tentera Patani, setelah 8 tahun jawatan tersebut kosong semenjak kematian Datuk Seri Maharajalela Syeikh Faqih Ali bin Orang Kaya Seri Akar Wan Muhammad bin Syeikh Syafiyuddin al-Abbasi / Tok Raja Fiqih yang terbunuh semasa serangan Siam 1632, sewaktu pemerintahan Raja Ungu (1624 – 1635). Gelaran jawatan yang disandang itu ialah Datuk Temenggung Seri Paduka Nik Ali. Selain itu beliau juga dikenali sebagai Tok Koda Bonang oleh rakyat Patani.


Bagi merungkaikan sedikit perbezaan di antara Faqih Ali al-Malbari dan Syeikh Faqih Ali, penulis akan menyentuh sedikit tentang keturunan Tok Raja Fiqih yang mengIslamkan Raja Patani bernama Raja Antira (Indera) serta menukarkan nama baginda kepada Sultan Muhammad Syah. Datuk Maharajalela Syeikh Faqih Ali merupakan anak kepada Bendahara Raja Patani bernama Wan Muhammad bergelar Orang Kaya Seri Akar DiRaja. Ini bermaksud bahawa Syeikh Faqih Ali juga adalah cucu kepada Syeikh Syafiyuddin al-Abbasi (Tok Raja Fiqih).

Kajian Keturunan Syeikh Faqih Ali pada tahun 1970-an

Kepulangan Faqih Ali al-Malbari pada tahun 1640 adalah untuk menggantikan kekosongan jawatan yang ditinggalkan setelah kematian Syeikh Faqih Ali.
Antara putera-putera Faqih Ali al-Malbari yang memikul tanggung jawab kerajaan Patani ialah Wan Ismail (Tok Kaya Pandak), Wan Yusuf (Tok Kaya Rakna DiRaja). Wan Ismail dan Wan Yusuf adalah putera dari bonda Wan Tija binti Datuk Laksamana Kota Tinggi. Manakala Wan Nik (Datuk Wan) pula telah dilantik sebagai Raja Jambu, jawatan yang pernah disandang oleh datuknya dahulu, Datuk Nik Mustaffa (Sultan Abdul Hamid Syah, Raja Champa). Wan Nik pula adalah putera dari bonda Che Dewi binti Dato’ Seri Biji DiRaja To’ Majid. Daripada keturunan Wan Nik pula kemudiannya lahirnya zuriat Kesultanan di Patani dan Kelantan.
Di sini jika diperhatikan dengan teliti bahawa amalan perlantikan raja-raja di negeri-negeri Melayu adalah dari pewaris keturunan yang sah. Disamping itu, hanya anak negeri sahaja yang diakan ditabalkan sebagai raja. Apatah lagi Patani dan Kelantan pula tiada hubungan dengan Bugis. Dakwaan Faqih Ali sebagai anak raja Bugis adalah sesuatu yang rapuh dan tiada asas sama sekali.
Wan Daim ialah cucu kepada Faqih Ali al-Malbari, juga merupakan anak kepada Datuk Wan (Wan Nik). Setelah kemangkatan ayahandanya, Wan Daim telah dilantik sebagai Datu Jambu serta ditabalkan sebagai Raja Jambu sebelum menjadi Raja Champa (1684 – 1692). Setelah berundur dari Champa setelah Champa jatuh ke tangan Vietnam, Wan Daim kemudian dilantik oleh Raja Patani sebagai penasihat dengan gelaran Datuk Pengkalan Tua. Dari keturunan Wan Daim lahirnya raja-raja Kelantan seperti Tuan Long Bahar, Sultan Long Sulaiman, Sultan Long Yunus dan Tuan Long Ghaffar sehinggalah Sultan Senik Mulut Merah. Di Patani pula, Raja Tuan Long Nuh sebelum ditabalkan sebagai Raja Patani, adalah merupakan Raja Jambu, adinda baginda, Tuan Long Man adalah Raja Jala manakala Tuan Long Deraman adalah Raja Legeh. Selain itu Tuan Sulong serta Tuan Besar Long Muhammad sehingglah Sultan Patani terakhir, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin adalah berketurunan Faqih Ali al-Malbari.
Golongan ulamak dari keturunan Faqih Ali al-Malbari sangatlah ramai. Menerusi puteranya, Wan Nik, lahirlah Tok Slehor ( Syeikh Abdul Rahman bin Utsman bin Senik), Tuan Guru Haji Abbas bin Haji Muhammad dan lain-lain. Daripada keturunan Wan Abu Bakar pula, muncullah nama seperti Syeikh Uthman al-Fathani bin Wan Derahman bin Wan Abu Bakar, Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas bin Abdul Rahim bin Abdul Rahman, Syeikh Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyong) bin Syeikh Wan Muhammad Amin (Tok Syeikh Kadhi) bin Syeikh Wan Abdul Rahman al-Fathani, Syeikh Wan Yusuf (Tok Syeikh Janggut Putih) bin Wan Ahmad, Syeikh Wan Muhammad (Tok Nik Mat Kechik) bin Syeikh Wan Ismail (Syeikh Janggut Merah) bin Wan Ahmad, serta ramai lagi.
Jadi dari kajian penulis serta kajian-kajian mereka yang terdahulu banyak mendapati bahawa Faqih Ali al-Malbari adalah dari marga Sayyid Hussein Jamadil Kubro menerusi Sayyid Ali Nurul Alam. Keturunan mereka berada di Nusantara untuk berdakwah serta menjalani kehidupan sufi yang sederhana. Sebahagian dari mereka telah ditakdirkan menjadi raja atau sultan, tetapi mereka melaksanakan pemerintah itu sebagai satu ibadah serta amanah dari Allah SWT. Terdapat juga sebahagian dari mereka telah terfitnah dengan pelbagai helah dunia. Wallahu a’lam….




6 comments:

  1. Saya mendoakan agar Tuan Syeikh diberikan kesihatan dan kekuatan untuk meneruskan blog ni. Sebelum ni sudah banyak blog tentang sejarah melayu yang saya ikuti tapi tidak sampai beberapa tahun berkubur begitu sahaja. Pencerahan sejarah melayu perlu dilakukan terutama pada waktu ini. Cuba kita bangsa-bangsa yang berjaya sekarang amat menitikberatkan salsilah mereka, contoh yang paling ketara Isreal la. Tidak dinafikan saya amat bersetuju apabila kerajaan kita telah menjadikan subjek sejarah sebagai matapelajaran wajib. Namun demikian, diharapkan juga pihak kerajaan memperbetulkan balik fakta-fakta sejarah itu yang selama ini ditutup..persoalannya mampukah????

    ReplyDelete
  2. Insya Allah semoga semua umat Islam akan diberikan hidayah untuk kembali mengamalkan ajaran Islam sebenarnya. Biarlah dunia berubah dengan peredaran zaman, tetapi manusia usahlah mengubah akidah untuk menuruti kehendak zaman. Sesungguhnya hukum dan ketetapan Allah Taala itu tidak pernah berubah.

    Sejarah telah banyak diubah supaya menepati kehendak pihak berkepentingan. Keagungan bangsa Melayu adalah bukan kerana perdagangan serta pelayaran semata-mata. Tetapi bangsa ini gemilang kerana rahmat Allah di atas usaha mereka memelihara amanah-Nya.

    ReplyDelete
  3. Salam Tuan Syeikh, semoga berada dalam keadaan sihat hendaknya. Saya ingin komen sedikit tentang penulisan Tuan di mana di sebut Faqih Ali al-Malbari telah dilantik oleh Raja Kuning sebagai Panglima Agung Tentera Patani, setelah 8 tahun jawatan tersebut kosong semenjak kematian Datuk Seri Maharajalela Syeikh Faqih Ali bin Orang Kaya Seri Akar Wan Muhammad bin Syeikh Syafiyuddin al-Abbasi / Tok Raja Fiqih yang terbunuh semasa serangan Siam 1632, sewaktu pemerintahan Raja Ungu (1624 – 1635).

    Sebenarnya Syeikh Faqih Ali tidaklah meninggal dunia tetapi telah belayar ke Gowa memohon bantuan dari Sultan di sana. Bersamanya di bawa Datuk Paduka Raja dan Puteri Senapati beserta bendera Buluh Perindu.

    Jika di Googgle Datuk Maharajalela Gowa akan ada kisahnya di panggil Datuk Punggawa Ketua masyarat Melayu di Sulawesi. Nama beliau juga disebut di dalam Syair Perang Mengkasar kerana terlibat menentang Belanda di Gowa. Beliau tidak pulang ke Patani tetapi menetap di Sulawesi kerana sebab-sebab yang hanya beliau tahu. Katanya beliau mangkat di Balanipa, Mandar tetapi ini tidak benar.

    Dari saya:ejitra@gmail.com

    ReplyDelete
  4. Walaikumussalam Saudara Nazri,
    Alhamdulillah. Semoga saudara serta seluruh ummat Islam di seluruh dunia sentiasa mendapat rahmat Allah hendaknya.

    Saya bersyukur kerana saudara Nazri sudi memberikan komentar terhadap artikel di atas. Saya kira saudara juga adalah seorang peminat sejarah Patani, secara umumnya.

    Berkaitan persoalan Syeikh Faqih Ali yang terbunuh itu, sengaja saya hanya mengambil satu hanya pandangan dari beberapa sumber. Kisah Faqih ini boleh juga dikatakan bersimpang siur. Ada dakwaan yang menyatakan Syeikh Faqih Ali meninggal dunia di Bone, Sulawesi dan ada juga yang mendakwa beliau pulang semula ke Patani setelah Faqih Ali al-Malbari terbunuh dalam serangan Siam pada tahun 1634. (Sedang catatan penulis di atas menyatakan Syeikh Faqih Ali yang terbunuh pada tahun 1632).

    Bagaimana pun penulis setakat ini, masih mempercayai bahawa yang terbunuh itu ialah Syeikh Faqih Ali sebagaimana penulisan di atas. Ianya berdasarkan kajian serta kaedah tertentu oleh penulis sendiri. Tetapi penulis tidak menolak catatan lain kerana di sinilah perlunya lebih banyak perbincangan dan kajian untuk mempastikannya kebenarannya.

    Saya sangat menghargai sumbangan komen saudara kerana ianya dapat membantu supaya saya sentiasa meneliti setiap aspek dalam kajian saya.

    Terima kasih sekali lagi dan teruskan memberi komentar sebagai bantuan kepada saya serta sahabat2 lain dalam mengembangkan sejarah Melayu-Islam kepada anak bangsa.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  5. Salam Tuan Syeikh. Sila baca:The Makassar Malays: Adaptation and Identity, @1660-1790
    By Heather Sutherland

    Artikel ini mengandungi informasi tentang Datuk Panglima Syeikh Faqih Ali dan kisah ringkas beliau di Sulawesi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih.
      Inilah jika menurut Almarhum Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, kemungkinan terdapat 3 orang Faqih Ali pada satu zaman itu. Jadi susah sikit untuk dipastikan dengan tepat kerana sumber Inggeris hanya digunakan oleh penulis sebagai cross check sahaja. Penulis banyak menemui cacatan Inggeris yang banyak bertentangan dengan fakta dalam sejarah Patani, juga sejarah Melayu lain.

      Kerana setakat ini penulis masih lagi tidak dapat menerima bahawa Syeikh Faqih Ali itu yang didakwa sebagai Andi' Ali @ Faqih Ali al-Malbari.

      Pandangan peribadi penulis sendiri adalah menyatakan kemungkinan Syeikh Faqih Ali telah ke Sulawesi mencari bantuan dan kembali ke Patani. Tetapi beliau terbunuh... cuma terdapat perbezaan iaitu 2 tahun, 1634 (tahun yang dinyatakan oleh penulis di atasa ialah 1632). Atau kemungkinan Syeikh Faqih Ali tidak lagi kembali ke Patani sehinggalah beliau meninggal di Sulawesi. Sedangkan Faqih Ali al-Malbari pulang ke Patani pada tahun 1640.

      Dan yang dibincangkan dalam topik ini ialah Faqih Ali al-Malbari bin Nik Mustaffa @ Sultan Abdul Hamid Syah itulah Datuk Temenggung Seri Paduka yang menggantikan Datuk Maharajalela Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Syafiuddin al-Abbasi.

      Mungkin jika saudara dapat highlightkan penerangan yang boleh menyokong dakwaan tersebut, mungkin saya terlepas pandang. Supaya kita sama-sama dapat mencari kebenaran, apakah Syeikh Faqih Ali yang dikatakan terbunuh itu masih hidup lagi selepas tahun 1634 atau sebaliknya. Insya Allah.

      Delete