Monday, 25 June 2012

Salasilah Raja Jembal-Kelantan






Ada pun jikalau ingin mengkaji sejarah Tanah Melayu, hampir separuh daripadanya berada di dalam sejarah Kelantan. Ini adalah kerana negeri Kelantan itu asalnya pecahan daripada Empayar Chermin, yang mana terkandung di dalam Empayar Chermin itu ialah Kelantan dan Patani. Patani kemudiannya pula mengandungi 43 buah jajahan termasuk juga Kelantan.  Empayar Chermin pula berasal dari Empayar Langkasuka, yang termasuk di dalamnya Kedah dan Patani. Disebabkan Patani adalah sebuah negeri yang kuat, maka nama Empayar Chermin menjadi tenggelam dan Patani itu sendiri pula ialah tinggalan Empayar Langkasuka. Setelah Kedah terpisah daripada Empayar Langkasuka, maka terbentuklah Empayar Chermin dan muncullah nama Patani memerintah jajahan tinggalan Empayar Chermin. Sehinggalah zaman merosotan Patani, maka wujudlah persekutuan yang dipanggil negeri Kelantan yang meliputi sebahagian daripada negeri jajahan Patani seperti yang wujud hari ini.
Penulisan kali ini adalah sambungan daripada tajuk Kesultanan Kelantan Purba (http://tabutjawi.blogspot.com/2012/01/kesultanan-kelantan-purba.html).  Bagaimana pun penulisan ini begitu kontra dengan Cetera Kelantan tulisan Datuk Perdana Menteri Kelantan Nik Mahmud bin Nik Ismail yang disalin semula pada tahun 1933 dan 1934 untuk pembelajaran sekolah di Kelantan.





Sepertimana yang telah dibincangkan sebelum ini, bahawa raja-raja Kelantan purba itu adalah berdarah keturunan Sriwijaya. Pusat pemerintahan Kelantan purba ialah di Tanah Merah (Chi Tu), dan istana kota pusat pentadbirannya ialah Bukit Panau. Dianggarkan bahawa Raja Bharubahasa atau Sultan Mahmud Syah (1339 – 1362) yang telah memindahkan pusat pemerintahan ke Bukit Panau bagi membina kota pertahanan dariapad serangan Siam Ayuthia. Kelantan pada waktu itu ada sebuah negara kota  kecil yang hanya meliputi kawasan barat negeri Kelantan sekarang ini.
Pada abad ke-15, iaitu kira-kira 100 tahun selepas zaman Sultan Mahmud Syah, kerajaan Patani merupakan sebuah kuasa yang kuat. Sehinggakan kekuatan Siam Ayuthia sudah tidak mampu untuk menerobosi pertahanan Patani. Kekuatan Patani ini menyebabkan negeri-negeri Melayu pantai timur Tanah Melayu berada di bawah naungan negeri tersebut, akan hal ini termasuklah Kelantan. Patani Besar ketika itu berada di bawah pemerintahan keturunan Sultan Qunbul / sayyid Nurul Alam.



Kira-kira di akhir abad ke-16, Kesultanan Patani telah meletakkan seorang wakil Sultan Patani bergelar Datu Kelantan untuk memantau pentadbiran Kelantan di bawah pemerintahan raja-raja Kelantan berketurunan Sriwijaya. Orang pertama menjadi wakil Sultan Patani ialah Datuk Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzaffar dari keturunan Sultan Qunbul Patani. Datuknya ialah Raja Champa bernama Sultan Wan Abu Abdullah Umdatuddin (1471 – 1478). Datuk Nik Jamaluddin juga dikenali sebagai Raja Sakti I dikalangan rakyat Kelantan kerana beliau mempunyai beberapa kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah SWT.  Raja Sakti I inilah pengasas Kerajaan Jembal di Kelantan dengan membuka satu kawasan di tepi Sungai Babong dan Pulau Melaka. Menurut cerita lisan nama Jembal diambil sempena nama sebatang pokok jambu jembal yang besar berhampiran kota yang baru siap dibina oleh pengikutnya. Maka dinamakan kota berkenaan sebagai Kota Jembal.
Semasa pemerintahan Sultan Ibrahim bin Sultan Mansur Syah (1570 – 1597) berketurunan Sriwijaya, putera Datuk Nik Jamaluddin bernama Sultan Adiluddin (1579 – 1597 & 1602 – 1605) telah dilantik pula sebagai Datu Kelantan. Sebelum dilantik sebagai Datu Kelantan, Nik Adiluddin bersama-sama 5,000 orang rakyat Kelantan telah membantu bapa saudaranya, Nik Mustaffa (Sultan Abdul Hamid Syah, Raja Champa 1577 – 1637) menyerang tentera Anam (Vietnam) untuk merampas kembali wilayah Champa yang telah jatuh ke tangan Vietnam. Serangan ini sangat berjaya kerana hampir keseluruhan Champa yang berada dalam genggaman Vietnam semenjak 1471 telah dapat direbut semula. Lihat http://tabutjawi.blogspot.com/2012/01/champa-bumi-jawi-iii.html
Pada tahun 1597, putera Sultan Ibrahim dari keturunan Sriwijaya telah dewasa. Sultan Adiluddin telah menyerahkan tahta kerajaan Kelantan kepada putera bernama Sultan Muhammad (1597 – 1602). Sultan Adiluddin telah ke negeri Champa untuk membantu bapa saudaranya, Sultan Abdul Hamid Syah untuk memulih kerajaan serta rakyat Champa disamping menjalankan kerja-kerja dakwah di sana. Kemangkatan Sultan Muhammad pada tahun 1602, telah menyebabkan tiada pewaris yang sah untuk menaiki tahta. Maka Sultan Adiluddin telah dipanggil semula untuk menjalankan pentadbiran di Kelantan buat kali kedua sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1605. Sultan Adiluddin hanya  mempunyai dua orang puteri dan tidak mempunyai putera. Puteri sulung baginda bernama Puteri Dalula telah dikahwinkan dengan putera Raja Champa. Puteri kedua baginda bernama Puteri Saadong yang dibesarkan oleh Che Siti Wan Kembang.
Jika dilihat corak peralihan tampuk pemerintahan daripada Raja keturunan Sriwijaya kepada keturunan Sultan Qunbul, ianya begitu tertib dan beradab sekali. Tiada pertelingkah atau perubatan kuasa kerana pada masa itu Raja-Raja Melayu sangat taat dan patuh akan ajaran Islam. Selain Raja-Raja berketurunan Sultan Qunbul yang merupakan raja serta ulama, raja keturunan Sriwijaya pula begitu cintakan agama selain mereka begitu menghormati ilmu serta pekerti keturunan Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Hal yang diperlihatkan oleh raja berketurunan Sriwijaya seperti Sultan Baqi Syah, Sultan Saddiq Maulana dan Sultan Iskandar Syah, mereka turut serta berdakwah bukan sahaja di Champa tetapi turut ikut serta dalam misi dakwah Wali Songo di tanah Jawa. Mereka telah meletakkan perjuangan Islam melebihi tahta dan kuasa.
Setelah kemangkatan Sultan Adiluddin, adinda baginda, Sultan Samiruddin (1605 – 1616) pula menaiki tahta kerajaan Jembal serta sebagai raja seluruh Kelantan. Salah seorang putera Sultan Samiruddin ialah Raja Abdulah yang berkahwin dengan sepupunya, Puteri Saadong binti Sultan Adiluddin. Raja Abdullah dikatan terbunuh akibat tertikam susuk sanggul dalam satu perselisihan faham dengan isterinya Puteri Saadong.
 Sultan Samiruddin pula mangkat dalam tahun 1616. Putera sulung baginda, Sultan Abdul Kadir (1616 – 1637) pula menaiki tahta Jembal-Kelantan. Menurut cerita salah seorang keturunan Raja Jembal yang usianya dalam lingkungan 100 tahun, yang penulis temui beberapa tahun lalu di Kota Bharu, Sultan Abdul Kadir mempunyai 2 orang permaisuri. Isteri kedua dikahwini kerana isteri pertama tidak melahirkan zuriat. Bagaimana pun, selepas perkahwinan kedua, isteri pertama telah melahirkan seorang putera. Hal yang demikian menimbulkan rasa cemburu di hati isteri muda, lalu diambil bayi permaisuri pertama tanpa pengetahuan orang lain dan diletakkan diperdu pokok buluh betung di sebuah hutan. Bayi tersebut kemudiannya ditemui oleh sepasang suami isteri yang sedang mencari hasil hutan dan dibela oleh mereka sehingga sekian waktu.
Akan Sultan Abdul Kadir serta permaisuri pertama itu sangatlah berdukacita atas kehilangan putera mereka yang masih merah itu. Atas takdir Allah SWT, maka bermimpilah Sultan Abdul Kadir tentang puteranya masih hidup dan selamat. Maka ditunjukkan dalam mimpi beberapa tanda pada batang tubuh bayinya itu. Antaranya ialah berkulit cerah, mempunyai bulu roma songsang dan lelangit di dalam mulunya berwarna hitam. Selang beberapa tahun kemudian Sultan Abdul Kadir pun terjumpalah puteranya itu beserta tanda seperti di dalam mimpinya. Setelah yakin bahawa kanak-kanak itu adalah putera baginda, maka dibawa pulang ke istana dan diberikan didikan agama seperti yang diajarkan datuk neneknya terdahulu. Putera itulah Long Betong atau Raja Sakti II (Raja Jembal-Kelantan 1637 – 1649) menaiki tahta setelah kemangkatan Sultan Abdul Kadir.
Kisah Raja Sakti II ini hampir serupa dengan kisah Sunan Giri yang dihanyutkan ketika masih bayi ke laut oleh ibunya, Dewi Sekadadu setelah dipaksa oleh Menak Sembuyu, penguasa wilayah Blambangan dalam Kerajaan Majapahit pada tahun 1442 Masehi. Sunan Giri juga dikenali sebagai Raden Paku dan Joko Samudro atau nama sebenarnya Muhammad Ainul Yaqin bin Maulana Ishaq. Kemudian apabila dewas barulah Sunan Ampel mengenali bahawa muridnya itu adalah anak saudaranya sendiri menerusi keramat kewaliannya. (Nota: Kedua-dua insan bernama Raja Sakti dan Sunan Giri adalah keturunan Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Ketaatan kepada Allah serta keilmuan Sunan Ampel dan Sultan Abdul Kadir itu  telah mencapai mereka kepada martabat tertentu di sisi Allah Taala. Wallahu a’lam).
Semasa Patani, negeri penaung Jembal-Kelantan telah diserang oleh Siam Ayuthia pada tahun 1649, Raja Sakti II telah mengetuai tentera Islam menyekat serta menghambat Siam Ayuthia itu sehingga jauh ke dalam wilayah Siam. Dengan jasanya itu, maka baginda telah dilantik sebagai Raja Besar Patani (1650 – 1662). Rujuk http://tabutjawi.blogspot.com/2012/06/sirah-patani-langkasuka-1649-1785.html
Tahta Jembal-Kelantan telah diserahkan kepada puteranya, Raja Loyor (1649 – 1663). Apabila Raja Sakti II mangkat, Raja Loyor juga menjadi Raja Besar Patani (1662 -1663). Semasa kemangkatan raja Loyor, Raja Umar ketika itu menjadi Raja Besar Patani. Puteri Saadong ( 1663 – 1671) pula menaiki tahta dan bersemayam di Gunung Chinta Wangsa di Bukit Marak. Apabila Puteri Saadong (1663 – 1671) meninggalkan tahta, Sultan Abdul Rahim (1671 – 1676) dilantik pula menggantikan Puteri Saadong. Sultan Abdul Rahim adalah putera bongsu Raja Loyor juga meninggalkan tahta kerana kurang berkemampuan. Raja Umar /Sultan Umar (1676 – 1721) adalah adinda Raja Loyor yang menaiki tahta Jembal-Kelantan dan menjadi Raja Jembal terakhir di dalam Dinasti Raja Jembal. Ini adalah kerana setelah menggantikan Sultan Abdul Rahim, putera sulung Sultan Umar  bernama Raja Kechil Sulong dengan sukarela menolak daripada ditabalkan sebagai Raja Jembal. Setengah pendapat lain menyatakan bahawa Raja Kechil Sulong meninggal dunia dalam usia masih muda. Ada juga yang menyatakan bahawa Raja Kecil Sulong ingin hidup sebagai rakyat biasa serta menghambakan diri kepada Allah SWT.
Tuan Besar Long Bahar bin Wan Daim yang berkahwin dengan Raja Pah, puteri Sultan Umar, telah ditabalkan sebagai Raja Jembal-Kelantan oleh pembesar negeri. Dengan itu Dinasti Raja Jembal yang memerintah Kelantan berakhir setelah kemngkatan Sultan Umar pada tahun 1721.
Sejarah Raja Jembal merupakan kisah para raja dari golongan ulama yang teguh pengangannya terhadap agama Islam. Mereka melaksanakan amanah pemerintahan berlandaskan hukum Islam dan menjaga kesejahteraan rakyatnya sepenuh hati. Sesetengan dari mereka telah mencapai tahap kemuliaan di sisi Allah dan mempunyai kelebihan tertentu. Rakyat menyebutnya sebagai “Daulat”. Kini keturunan Raja Jembal tidak lagi menjadi pemerintah di Kelantan, tetapi keturunan mereka yang sebenar masih lagi ramai yang taat dengan ajaran Islam. Sebahagian dari mereka ini yang dikatakan akan bersama-sama golongan agama membawa kebangkitan Islam semula di Kelantan dan Nusantara….

6 comments:

  1. ada sedikit kekeliruan pd carta dgn penerangan Syeikh. dlm carta, Sultan Abd Rahim adalah anak Sultan Samiruddin tp penerangan sheikh Sultan Abd Rahim itu putera bongsu Raja Loyor. Tuan Sheikh blh jelaskan kedudukan sebenar Sultan Abd Rahim?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana mengunjungi tabutjawi yang tidak segah mana ini.

      Benarlah, penulis ini telah melakukan kesilapan dengan mencatatkan Sultan Abdul Rahim sebagai putera bongsu Raja Loyor.

      Sepatutnya Sultan Abdul Rahim bin Sultan Samiruddin.

      Terima kasih tak terhingga kerana mengesan kecacatan penulisan ini. Pembaca yang peka seperti tuan adalah sangat diperlukan demi supaya sejarah tidak dicacatkan oleh penulisan liar.

      Wassalam.

      Delete
  2. Banyak kisah menarik..banyak tajuk. kalau boleh dibukukan naskahnya untuk didownload atau dijual edar naskahnya agar tidak hilang begitu saja kajian sebegini. ..hanya cadangan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih ... mungkin jika ada kajian lebih lanjut lagi dapatlah dipertimbangkannya...

      Delete
  3. Kami ada mmbaca blog kesultanan kelantan yg mnyatakan Sharif muhd kebungsuan Al-Aidrus adalah anak kpd sayyid jumadil alkubra.Sbg waris Sultan Sharif muhd kebungsuan (1st sultan of mindanao n Mharaja Brawijaya Majapahit,Jawa,Indon) kami menafikan hal trsebut krn brtentangan dgn salasilah yg kami pengang ratusan tahun(Kesultanan Maguindanao,Kesultanan Raja Buayan dlln kesultanan Mindanao).Sayyid Jumadil alkubra dr sultanate of delhi adalah ayah angkat kpd sharif muhd kebungsuan(yg kami percayai turun-temurun).Ayah sharif muhd kebungsuan ialah Sharif Ali Zainal Abidin.Harap kekeliruan ini diperbetulkn n kembalikn sejarah asli sh.muhd.kebunsuan al-aidrus.(Sultan Shariful Hashim bin Sharif Ali Zainal Abidin Al-Aidrus of Sulu).Wasalm

    ReplyDelete
    Replies
    1. Penulis juga ada mengkaji sepintas lalu salasilah Sharif Muhammad Kebungsuan ini ... didapati bahawa kenyataan tuan itu ada asas yang kukuh ...

      Terima kasih kerana sudi memberikan komentar ...

      Delete