Monday, 30 April 2012

Nasi Pattaya tak wujud di Pattaya Thailand



http://shaffik.com/2009/03/05/nasi-pattaya-tak-wujud-di-pattaya-thailand/
Siapa yang tak tahu tentang Nasi Goreng Pattaya. Semua orang Malaysia tahu tentang Nasi Goreng Pattaya. Nasi goreng yang di bungkus dengan telur. Di hidangkan bersama sos atau sambal belacan dan mungkin ditambah pula ikan bilis. Ermmm sedapnya.
Tapi tahukan anda semua dari mana asalnya Nasi Pattaya? Saya masih lagi mencari jawapan ini sehingga sekarang. Pada mulanya aku ingat Nasi Pattaya berasal dari Pattaya Thailad. Tapi silap. Ianya bukan dari Pattaya.


Sebabnya member aku ada pergi satu training di Pattaya Thailand tahun lepas. Untuk makan malam dia bersama rakan-rakan lain pergi ke kedai makan. Dia dengan confidentnya order satu Nasi Goreng Pattaya. Pattaya fried rice dalam englishnya. Tapi orang kedai tu cakap tak ada. Dan sememangnay tak ada Nasi Pattaya di Pattaya Thailand.
Sepanjang 3 minggu di sana, member aku teruskan pencarian untuk makan Nasi Pattaya. Yer laa nak rasa macam maner Nasi Pattaya Original dari tempat asalnya. Sememangnya tak ada pun Nasi Pattaya di Pattaya. Yang ada hanyalah Tom Yam. Makanan yang seakan sama dengan Malaysia. Tapi memang power. Untuk confrim lagi, dia bertanyakan orang-orang di sana. Memang tak wujud Nasi Pattaya ataupun Nasi yang seakan-akan Nasi Pattaya.
Untuk membuktikan lagi cerita member aku ni. Aku bertanyakan seorang supplier yang berasal dari Thailand. Datang untuk setup satu machine di sini. Aku pun tanya kepada dia. Ada tak nasi pattaya di Thailand. Atau di mana-mana sahaja di Thailand? Dia jawab memang tak ada. Yang ada hanyalah nasi goreng biasa. Jadi memang tak ada Nasi Pattaya di Pattaya dan Thailand.
Jadi dari mana ya Nasi Pattaya? Daripada Kelantan ker? Ataupun Siam ker? Sebab kedai-kedai orang Kelantan banyak membanjiri muka bumi Malaysia ni dan pula Nasi Pattay biasanya boleh didapati di sini.
*********************
….Inilah Resepinya (stail Mak Aji Kg. Sena)

Bahan-bahan ( 2 -4 orang makan )

·         1 mangkuk nasi (masak guna beras kampong, beras Siam tak sedap)

·         1 labu bawang besar

·         3 ulas bawang putih

·         1 gengam sayur campur

·         1 ketul dada ayam di hiris nipis

·         3 biji cili padi/3 sudu cili kering-ikut suka

·         1 kiub pati ayam

·         Sedikit garam

·         4 biji telur

Cara-cara

1.      Tumiskan bawang besar,bawang putih dan cili. Masukkan dada ayam yang dihiris nipis,     kiub pati ayam,garam dan sayur campur. Gaul semua bahan kemudian masukkan nasi.

2.      Setelah siap nasi goreng, ketepikan.

3.      Pukul telur, campur secubit garam dan buat seperti telur dadar. Tapi jangan terlalu tebal.

4.      Tuangkan Nasi ke atas telur tadi, kemudian bungkuskan telur tadi.


Pemilihan Kayu Ukiran Kayu




PAPER PRESENTED IN SYMPOSIUMS AND CONFERENCES AND PUBLISHED IN JOURNALS 1990-2001


 
 
CIRI PEMILIHAN KAYU UNTUK BAHAN UKIRAN MELAYU DI SEMENANJUNG MALAYSIA

ISMAIL SAID Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia, 81310, Sekudai, Johor e-mail: b-ismail@utm.my
AFIRA DIWATI ADNAN Pembantu Penyelidik, Research Management Centre, Universiti Teknologi Malaysia e-mail: fira34@hotmail.com Kertaskerja ini akan diterbitkan didalam Journal Housing, Building and Planning, June 2002, Universiti Sains Malaysia
Abstract
Malay craftsmen observed four factors in selecting tropical timber to make building components and woodcarving. The factors are (I) availability of timber, (ii) type of use, (iii) physical characteristics and durability of timber, and (iv) spirit of timber. The skill of selecting proper timber is gathered by the craftsmen through the process of carving. The timber are sourced from dipterocarp forests, secondary forests, coastal forests, orcahrds, and house compounds. The knowledge and skill ensure the quality of carving and optimize the use of timber supply.    
Abstrak
Pengukir Melayu memerhati empat faktor didalam memilih kayu tropika untuk pembinaan komponen bangunan dan kraf yang diukir. Faktor-faktor itu adalah   (i) kemudahan memperolehi bahan kayu, (ii) jenis penggunaan, (iii) sifat fizikal dan daya tahan kayu, dan (iv) kepercayaan kepada semangat kayu. Kemahiran memilih kayu ini diperolehi semasa proses mengukir yang mempengaruhi hasilkerja ukiran yang kemas dan indah serta mengayakan senibina dan seni halus Melayu. Sumber bahan di perolehi dari hutan tropika dipterokap, belukar, hutan persisiran pantai, dusun dan perkarangan rumah. Pengetahuan pada empat faktor tersebut dapat mengoptimakan kegunaan bekalan kayu yang ada di Semenanjung Malaysia. Pengetahuan ini juga memastikan produk ukiran yang mempunyai gaya asli yang diwarisi oleh orang Melayu.
 
 
 
Pengenalan
Kayu merupakan sumber alam yang digunakan oleh tukang ukir Melayu di dalam membentuk kraf dan komponen bangunan dan perahu.   Nilai kualiti ukiran berkait rapat dengan pemilihan spesis kayu. Empat faktor yang mempengaruhi pemilihan kayu sebagai bahan binaan ukiran adalah  (i) bahan yang mudah diperolehi, (ii) jenis penggunaan, (iii) sifat fizikal dan daya tahan kayu, dan (iv) kepercayaan kepada semangat kayu (Ismail Said, 2000).   Pemilihan dan penyobekan yang berasas dan kemas pada sesuatu spesis kayu menentukan kualiti seni ukiran. Selanjutnya, ukiran tersebut  menambahnilai rupabentuk dan estetik kepada komponen atau peralatan bangunan dan kraf. Misalnya, tunjuklangit pada kerangka bangunan Melayu dihias dengan buah buton untuk menyempurnakan nilai senibina rumah atau masjid. Masjid Telok Manok di Patanni dilengkapi dengan buah buton bermotif bunga teratai yang ditanggam pada hujung tunjuklangit atau alang. Hampir keseluruhan masjid serta komponennya dibina dari spesis kayu cengal. Pengukir keris pula memilih kayu kemuning yang berwarna kuning cerah atau berceloreng coklat yang disobek membentuk hulu dan sarong. Motif flora dan fauna dimanifestasi pada hulu keris dengan sobekan halus dan rumit. Motif flora yang sama digunakan pada komponen rumah seperti daun pintu dan sisir angin atau perabot seperti kepala katil. Tujuan artikel ini menerangkan empat faktor tersebut yang menentukan pemilihan spesis kayu tropika untuk bahan ukiran Melayu di Semenanjung Malaysia. Keterangan ini adalah sebahagian dari penemuan penyelidikan Kajian Klasifikasi Spesis-spesis Kayu dalam Seni Ukiran Melayu di Semenanjung Malaysia yang telah dijayakan oleh pengarang pada Jun 2000. Ciri-ciri pemilihan spesis kayu ini perlu diperhatikan oleh pengukir, akitek dan pakar seni ukiran untuk menjamin mutu dan nilai ukiran  Melayu.  Penghargaan pada nilai ukiran memastikan ukiran kekal sebagai warisan Melayu yang kian pudar dihayati oleh generasi masa kini.
 
 
 
Ukiran Sebagai Seni dan Kraf
Ukiran kayu adalah satu seni penyobekan permukaan papan atau bongkah kayu yang dibentuk atau dicorak mengikut sesuatu motif. Proses penyobekan bermula dengan pemilihan kayu untuk dijadikan komponen bangunan atau kraf. Papan atau bongkah kayu di takek dengan kapak atau ceter. Kemudian dipahat atau ditoreh dengan pahat dan pisau wali berpandukan ilham dan daya cipta pengukir. Kemahiran menyobek dan merekabentuk bunga ukir di perolehi dari proses pembelajaran dari tukang ukir yang mahir. Tukang ukir di Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka menjadikan aktiviti mengukir sebagai pekerjaan asas atau sambilan. Komponen bangunan dan kraf ukiran kayu Melayu boleh diklasifikasi kepada empat jenis termasuk senjata, komponen bangunan dan perahu, peralatan harian, dan peralatan musik (Ismail Said, 2000). Ianya diukir bermotif bentuk flora (tumbuhan), haiwan, khat, geometrik dan elemen kosmos. Contoh motif flora yang diketemui dari penyelidikan dijelaskan dalam rajah 1.0. Ukiran Melayu dibentuk dalam tiga  jenis rupa sobekan iaitu tebuk timbul, tebuk tembus dan gabungan tebuk timbul dan tembus semenjak awal abad ke-14. Kehalusan ukiran atau saiz bunga ukir dipengaruhi oleh  jenis komponen bangunan atau kraf. Ukiran berbunga kasar diterap pada komponen rumah seperti daun pintu, sisir angin, buah buton dan dinding. Bunga ukiran yang halus dan rumit disobek pada kraf kecil terutama hulu senjata, acuan putu, cepu, kotak rokok dan perabot rumah. Motif yang serupa digunapakai pada sobekan kasar dan halus. Sobekan bermotif flora mendominasi bunga ukiran pada komponen bangunan dan kraf di negeri Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Rajah 1.0 Motif flora dan fauna dalam ukiran Melayu

Bentuk bunga ukiran Melayu Kelantan dan Terengganu  mengikut empat bentuk asas iaitu stupa, makara, gunungan, dan teratai (lihat rajah 2.0). Bentuk asas ini adalah pemidang kepada motif flora yang berasal dari keturunan tukang ukir sebelum abad ke-14. Kebanyakan ukiran bagi komponen bangunan berbentuk kepingan dan empat segi seperti daun pintu dan sisir angin adalah bertatatur simmetri. Tatatur yang seimbang ini berasaskan pada sekurang-kurang satu paksi. Terdapat juga komponen seperti alas lampu langit-langit rumah berpaksi lapan, contohnya pada Rumah Dato Biji Sura di Kuala Terengganu (Mohamed Hanif, 1997). Komponen bangunan atau kraf berbongkah seperti buah buton, kukur dan hulu keris disobek bersimmetri atau sebaliknya. Buah buton  pada Masjid Telok Manok di daerah Pattani disobek dalam bentuk bunga teratai. Kesemua 18 buah buton dibezakan dengan kemekaran bunga; bermula yang masih kuncup hingga yang mekar penuh. Kewujudan komponen ukiran jelas mengindahkan rupabentuk dan menambahnilai  sesuatu bangunan. Ia bukan hanya sebagai elemen hiasan malah menjadi elemen keperluan untuk menandakan senibina Melayu di Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.


Rajah 2.0 Bentuk asas ukiran Melayu di Kelantan dan Terengganu


Terdapat lebih dari 15 jenis komponen-komponen bangunan yang diukir dan dikategorikan dalam tiga jenis iaitu kerangka, elemen dan perhiasan. Pemeleh, tunjuklangit, tiang seri, tetupai dan dinding adalah komponen kerangka yang menanggung beban bangunan.  Hanya  bunga ukiran kasar atau mudah saja diterapkan pada komponen-komponen ini.  Berlainan pula ukiran pada komponen elemen iaitu lebih halus kerana ia menjadi tumpuan pandangan apabila seseorang berada di dalam bangunan.  Daun pintu, kekisi, sisir angin dan mimbar masjid adalah contoh komponen elemen. Komponen perhiasan pula berfungsi menambah nilai rupabentuk senbina bangunan. Som, buah buton dan cucur atap adalah diantara komponen perhiasan pada rumah tradisional Melayu.  Buah buton merupakan bentuk stupa biasanya diukir bermotifkan bunga teratai sedang mekar dan berfungsi sebagai hiasan atau penutup pada pangkal tanggam kasau jantan, alang dan tunjuk langit.  Spesis kayu cengal, merbau, balau merah, seraya dan meranti digunakan untuk pembinaan rumah dan masjid serta komponen ukiran. Tukang perahu pula memilih spesis kayu sangat keras iaitu cengal dan balau merah untuk pembinaan ukiran pada perahu serta  komponen nya. Komponen utama yang diukir termasuk kepala bangau dan pengayuh perahu.  Kepala bangau atau makara merupakan mitos orang Melayu Pattani terhadap kosmologi dan laut.  Ianya berfungsi sebagai penyangkut tali sauh dan dipasang pada bahagian depan perahu.  Motif flora termasuk motif daun dan bunga getamguri, jari buaya, bayam peraksi, bunga ketumbit dan sulur kacang laut kebiasaannya diterapkan pada kepala bangau. Pengukir Melayu juga menghasilkan lebih dari 15 jenis peralatan dan perkakas rumah termasuk peralatan dapur seperti kukur, sengkalan, senduduk dan acuan putu. Contoh peralatan rumah, senjata, peralatan muzik dan komponen rumah digambarkan dalam rajah 3.0. Motif flora seperti daun sulur kacang laut, ketam guri dan ketumbit disobek pada kaki dan leher kukur. Ia diperbuat dari bongkah kayu nangka atau leban yang biasa diperolehi dari belukar dan perkarangan rumah. Rupabentuk ukiran jelas menunjukan bahawa sobekan adalah satu manifestasi idea yang abstrak kepada bentuk nyata diatas kayu. Manifestasi ini amat simbolik terutama pada kraf yang kecil seperti senjata termasuk keris, badek, golok, dan lembing. Walaupun motif ukir yang sama digunapakai namun kehalusan sobekan adalah rumit. Kayu kemuning dipilih oleh pengukir untuk hulu keris dan badek kerana sifat kehalusan ira dan kecerahan warna kuning dan kadang-kadang berceloreng. Manakala kekerasan serta tahan lasak kayu cengal atau kelurusan urat batang nibong menyebabkan ia menjadi pilihan untuk hulu lembing. Selain dari senjata, peralatan muzik juga diukir sebagai kraf termasuk kenong, kecupung rebab, kerombong, gong dan serunai. Spesis cengal, sena, leban, bacang dan nangka digunakan untuk peralatan-peralatan ini. Sebagai contoh, serunai dibuat dari spesis leban untuk menghasilkan bunyi yang merdu kerana bunyi yang tinggi nilainya dikaitkan dengan kehalusan ukiran dan kesesuaian bahan. Kaitan penggunaan spesis kayu dengan jenis kraf dan komponen bangunan dan perahu dirumuskan didalam Jadual 1.




Pemilihan Spesis Kayu
Terdapat tiga faktor yang mempengaruhi tukang rumah dan perahu serta pengukir kraf memilih spesis kayu untuk komponen ukiran. Faktor-faktor pemilihan kayu untuk bahan ukiran adalah kemudahan mendapat sumber kayu, sifat fizikal dan daya tahan, dan kepercayaan terhadap semangat kayu. Seseorang pengukir mungkin memberi keutamaan berbeza dari pengukir lain terhadap pemilihan spesis kayu. Pengukir keris hanya memilih kayu kemuning untuk hulu keris dan memberi kelonggaran untuk sarong keris yang boleh digantikan dengan kayu leban. Tukang rumah mengutamakan kayu cengal dan merbau untuk komponen ukiran kerana ketahanan lasak dari serangan bubuk dan kulat. Namun sesetengah pengukir berpuas hati dengan sebarang spesis untuk membuat peralatan dan perkakas rumah.
1. Kemudahan Mendapatkan Sumber Kayu dan  Jenis Penggunaan Hutan tropika dipterokap, belukar, persisiran pantai, dusun dan perkarangan rumah mengandungi berpuluh-puluh spesis kayu keras dan lempong untuk pembinaan bangunan dan kraf (Ismail Said, 2000).  Hutan dipterokap yang menghasilkan pokok kaum damar dan bukan damar untuk bahan pembinaan. Dari perspektif tukang ukir, kayu diklasifikasi kepada tiga jenis mengikut kekerasan dan kehalusan urat (ira) kayu iaitu keras, sederhana keras dan lempong. Klasifikasi ini sedikit sebanyak bersamaan dengan klasifikasi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia di Kepong. Kaum damar yang berkayu keras dan sederhana keras termasuk balau, cengal, damar hitam, giam, kapur, dan keladan. Spesis-spesis ini adalah kayu komersil untuk pembinaan bangunan dan perahu. Hutan prima Semenanjung Malaysia menghasilkan spesis-spesis berdamar pada kadar isipadu yang tinggi. Faktor ini memudahkan tukang ukir memperolehi bahan ukiran dengan kadar harga yang berbeza; cengal dan merbau adalah antara yang termahal berharga RM3800 setan manakala harga bagi keladan adalah lebih murah. Sehingga kini tukang ukir di Besut, Kuala Terengganu dan Kota Bahru memilih kayu cengal untuk penyobekan komponen rumah termasuk pada daun pintu, pintu gerbang, kekisi, tebar layar, sisir angin, dinding, dan tunjuk langit. Rumah Wan Embong dan Kota Lama Duyung di Kuala Terengganu adalah diantara rumah tradisional yang dilengkapi dengan komponen ukiran tersebut. Tukang perahu di Pulau Duyong, Kuala Terengganu tetap menggunakan cengal untuk pembinaan badan perahu dan komponen-komponen nya. Belukar, dusun atau perkarangan rumah kampung menghasilkan campuran spesis kayu keras, sederhana keras dan lempong. Leban, sena, tembusu dan kundang yang berteras amat digemari oleh tukang ukir untuk membuat peralatan rumah  atau alat permainan termasuk kukur dan gasing. Manakala, pokok buah yang ditanam di dusun dan perkarangan rumah termasuk nangka, ciku, rambai, belimbing dan bacang membekal bahan kayu untuk pembuatan peralatan harian termasuk dulang, congkak, kukur, dan perabot.  Hutan persisiran pantai pula membekal spesis penaga dan jambu laut yang berira halus dan liat. Tukang perahu mengoptimasi bekalan ini dengan menghasilkan pengandar dan pengayuh perahu.
2. Sifat Fizikal dan Daya Tahan Dua puluh dua spesis yang diselidik mempunyai sifat-sifat yang berbeza termasuk kepadatan dan kekerasan, ira gentian dan warna, dan kilauan.  Spesis kayu berkepadatan tinggi seperti cengal dan merbau dikenalpasti mampu menampong beban yang berat. Maka spesis tersebut menjadi bahan utama pembinaan rumah atau masjid. Komponen kerangka yang diukir termasuk  tunjuk langit, tetupai, dan peha tangga dibina dari kayu berkepadatan tinggi. Selain kepadatan kayu, ira gentian (urat kayu) juga sebagai penentu kesesuaian kayu untuk sesuatu kegunaan. Dari perspektif pengukir keris, ira kayu boleh dikategori sebagai sangat halus, sederhana halus dan halus, dan samada rata dan tidak rata. Gentian spesis tempinis dan kemuning adalah sangat halus yang menjadi pilihan untuk ukiran tongkat dan hulu senjata. Bongkah kayu kemuning yang dipotong dari umbi atau pangkal dahan pokok yang bergentian bertindih lebih digemari oleh pengukir. Kayu ini menghasilkan hulu keris atau badek yang lebih indah.  Sifat ketahanan lasak kayu dari serangan kulat dan bubuk merupakan faktor penting untuk bahan ukiran terutama komponen bangunan. Rumah tradisional Melayu yang berusia lebih dari seratus tahun banyak terdapat di negeri Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan. Masjid Kampung Laut di Nilam Puri, Kelantan di bina dari kayu cengal dan masih tegap walaupun dibina 180 tahun yang lepas.  Sekira dibanding dengan spesis keranji yang kekerasan kayu lebih tinggi dari cengal, ia mudah di serang oleh kulat apabila berkeadaan basah. Maka tukang rumah tidak memilih keranji untuk membina komponen rumah. Warna atau kilauan kayu juga menjadi faktor sesuatu spesis kayu di plilih oleh tukang ukir. Teras kayu sena berwarna coklat dan berkilat apabila digosok licin amat sesuai untuk perabot dan peralatan harian rumah. Kayu merbau pula berkilauan setelah diketam licin dan menjadi kegemaran tukang ukir disobek menjadi kekisi, cucur atap, dan kayu nisan. Kayu kemuning berkilaun kuning cerah atau berceloreng adalah pilihan utama dalam mengukir hulu dan sarong keris dan badek. Kilauan akan bertahan lama setelah di sapu dengan shellac.
3. Kepercayaan kepada Semangat Kayu Kepercayaan pengukir Melayu kepada semangat kayu adalah faktor pemilihan sesuatu spesis atau pokok untuk dijadikan komponen ukiran atau kraf. Kayu yang bersemangat dapat diklasifikasikan kepada dua aspek iaitu segi fizikal dan meta-fizikal.  Sebagai contoh, pokok usang yang berusia melebihi 200 tahun dipercayai mempunyai penunggu di kalangan jin dan syaitan.  Oleh itu ia tidak sesuai dijadikan bahan binaan termasuk untuk ukiran.  Kepercayaan ini mungkin dipengaruhi oleh sifat pokok tersebut di mana banir yang lebar mencengkam tanah dan batang besar serta tinggi.  Sifat gergasi ini menyebab masyarakat Melayu mengkaitkan pokok ini dengan mitos penunggu.  Sebaliknya spesis kayu yang mempunyai semangat yang tinggi seperti kemuning amat sesuai untuk ukiran pada hulu keris dan badek. Ini kerana kayu bersemangat tinggi akan dihargai oleh masyarakat dan menjadikan sesuatu kraf yang diukir itu berstatus tinggi dari segi persepsi orang Melayu.  Kepercayaan kepada semangat mendorong masyarakat Melayu menghormati pokok dan kayu, seterusnya menggunakannya secara tertib dan beradab.
 
 
Kesimpulan
Pengetahuan memilih spesis kayu sebagai bahan  ukiran pada sesuatu komponen rumah atau kraf berasaskan kepada kemudahan mendapat sumber kayu, fungsi komponen atau kraf, sifat fizikal serta daya tahan kayu dan kepercayaan kepada semangat kayu. Selain dari kebolehan memanifestasikan ilham kepada ukiran dan kemahiran menyobek kayu, pengukir meneliti faktor-faktor pemilihan kayu tropika untuk memastikan ukiran yang kemas dan indah dihasilkan. Proses penelitian ini memerlukan satu masa yang panjang bersamaan dengan kadar masa memperolehi kemahiran menyobek. Penelitian fizikal dan meta-fizikal dilakukan oleh pengukir Melayu untuk memastikan mutu sobekan yang tinggi. Sobekan ini adalah satu gaya senibina atau seni halus yang dimiliki oleh pengukir melayu. Gaya ini sentiasa diolah oleh seseorang pengukir; tetapi tidak mengubah asas dan motif ukiran. Pengolahan adalah satu daya usaha yang dinamik yang memastikan hasil tangan pengukir digemari oleh generasi semasa. Terdapat banyak sumber kayu untuk ukiran dari belukar, dusun dan perkarungan rumah. Adalah wajar masyarakat Melayu memerhatikan potensi spesis pokok seperti leban, sena dan nangka yang amat sesuai dijadikan komponen ukiran. Kerap kali dilihat batang pokok tersebut dijadikan turus pagar atau kayu api. Dengan penyebaran maklumat kepentingan kayu ini, maka penggunaan spesis ini dioptimakan menjadi bahan ukiran.  
 
Rujukan
1. Abdul Halim Nasir 1986, Ukiran Kayu Melayu Tradisi, Dewan Bahasa dan Pustaka
2. Abdul Halim Nasir, 1994, Rumah Melayu Tradisi, Fajar Bakti : Kuala Lumpur
3. Ismail Said, Ahmad Saifuddin Abdullah, Afira Diwati Adnan, 2000, Kajian Klasifikasi Spesis-spesis Kayu dalam Seni Ukiran Melayu di Semenanjung Malaysia, Research management Centre, Universiti Teknologi Malaysia
4. Dewan Budaya Sept. 1984, Seni Ukiran Kayu Tradisional Melayu di Semenanjung Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.
5. Lim Jee Yuan, 1987, The Malay House, Institut Masyarakat Pulau Pinang
6. Mohd. Ridha Lua,1990, Komposisi dan konsep pembentukan hulu keris, Kajian Topikal, Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina UTM.
7. Mohamad Hanif Hassan 1997, Kota Lama Duyung, Kuala Terengganu, Kajian Lukisan Terukur, KALAM, UTM, belum diterbitkan
8. Mohd. Hazriq Mohd. Din 1998-1999, Rumah Haji Muhammad Kaya, Losong, Kuala Terengganu, Kajian Lukisan Terukur, KALAM, UTM, belum diterbitkan
9. Mohd. Taib Osman 1997, Islamic Civilization In The Malay World, Dewan Bahasa dan Pustaka
10. Syed Ahmad Jamal, 1992, Rupa dan Jiwa, Dewan Bahasa dan Pustaka
11. Zulkifli Hanafi, 2000. Pola-pola Hiasan Di dalam Bangunan Tradisional Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
12. Zulkifli Hanafi 1996, Pembinaan Bangunan Tradisional Melayu, Amber-Solara Publication.

Sunday, 29 April 2012

Perang Kedah – Siam & Inggeris (Kota Kuala Kedah)



Pintu masuk ke Kota Kuala Kedah

Sejarah Kedah dan Patani dalam menghadapi serangan Siam semakin dilupakan masyarakat pada hari ini. Perjuangan orang Melayu di kedua-dua buah negeri Islam ini perlu dihayati supaya sejarah rentetan kemerdekaan tanahair sentiasa dikenang serta diambil pengiktibaran daripadanya.

Kedah dan Patani mempunyai sejarah yang panjang. Kedua-duanya berasal dari satu empayar Melayu agung purba iaitu Langkasuka. Kemudian Kedah pula beada di bawah pengaruh Empayar Melaka. Manakala Patani pula yang berasal dari Empayar Langkasuka kemudian membentuk Empayar Chermin-Langkasuka sehinggalah menjadi sebuah Kerajaan Daulah Islamiyyah Fattani yang menjadi pusat penyebaran agama Islam di Nusantara. Kedua-dua negeri Kedah dan Patani adalah kota pelabuhan pesat yang maju yang menjadi tumpuan pedagang seluruh dunia pada suatu masa dahulu. Diatas faktor kemasyhuran empayar Melayu, pusat perdagangan serta pusat dakwah Islam inilah yang menjadi tarikan utama Siam sentiasa tidak berputus asa untuk menakluk kedua-duanya.

Marilah kita sama-sama merenung kembali kisah rakyat Kedah menentang penjajah SIAM. Jika ingin dihuraikan sepenuhnya kisah tersebut memanglah amat panjang ceritanya (hampir 4 abad atau mungkin lebih). Oleh itu apa yang dipaparkan ini hanyalah tertumpu kepada Sejarah Kota Kuala Kedah yang telah menjadi saksi orang Melayu menentang penjajah SIAM.   



Pintu-pintu di sekeliling kota



Kota Kuala Kedah terletak di muara Sungai Kedah kira-kira 10km dari bandaraya Alor Setar. Berbentuk segi empat, ia berada di utara tebing sungai Kedah, di mana tembok sebelah barat mengadap Selat Melaka, selatan tembok mengadap sungai mengahala ke Pekan Kuala Kedah, utara tembok mengadap kawasan paya.

Manakala timur tembok mengadap perkampungan nelayan dan sawah padi. Kawasan tembok yang mengadap daratan dikelilingi pula dengan parit yang dikenali dengan Alor Melaka. Ketika berfungsi sebagai markas ketenteraan, dibina istana raja, rumah pengawal, kantin, meriam dan pondok-pondok atau khemah untuk askar. Pintu utama pula mengadap sebelah timur Alor melaka. Setiap penjuru kota ini dikelilingi dengan meriam-meriam kecuali di tembok yang menghadap paya.

Meriam Badak Berendam di celah runtuhan kota


Ironinya, kota yang menjadi saksi kepada perjuangan orang melayu dalam memerdekakan negeri Kedah bermula sebagai pertahanan hadapan bangsa penjajah terawal di tanah melayu iaitu Portugis. Nama asal kota tersebut ialah Kota Kuala Bahang dan diasaskan oleh Sultan Sulaiman Syah (1602-1619) dengan bantuan Portugis. Dari segi bentuk yang bersegi-empat menunjukkan kota ini pada awalnya dibina berfungsi lebih sebagai kilang atau gudang untuk tujuan perdagangan berbanding sebagai kota pertahanan tentera yang digunakan oleh pihak Portugis sendiri. Ia juga dibina agar tidak mudah terbakar. Malangnya, apabila ia dilihat sebagai kota pertahanan Portugis, ia juga menjadi sasaran utama musuh Portugis ketika itu, Acheh. Pada tahun 1619, Sultan Mahkota Alam dari Acheh telah menyerang kota tersebut dan menghalau Potugis dari situ. Mahkota Alam juga telah menakluk seluruh negeri, menawan 7000 rakyat termasuk Sultan Kedah sendiri dan membawa pulang mereka ke Acheh (rujuk kisah Puteri Lindungan Bulan).



Deretan meriam yang masih setia mengawal kota


Pada tahun 1650, kerajaan Kedah telah membeli 30 pucuk meriam dari Portugis untuk menguatkan lagi benteng pertahanan kota ini. Ia ternyata berhasil pada kurun berikutnya ketika perang saudara antara Sultan Muhammad Jiwa dan adiknya yang berhasrat untuk merampas kuasa iaitu pada tahun 1724. Sultan dibantu oleh Pahlawan Bugis iaitu Daeng Parani yang berkekuatan 62 buah perahu perang dari Riau dan Selangor manakala adik sultan dibantu oleh Raja Kechil dan pengikutnya dari Minangkabau untuk menghalau Bugis dari Kedah.

Raja Kechil berjaya menawan Kota Kuala Kedah tetapi bantuan yang tiba dari abang Daeng Perani, iaitu Daeng Merewah berjaya menghalau Raja Kechil dan pengikutnya keluar dari Kedah dan kembali ke Siak. Perang tersebut mengambil masa selama 2 tahun dan mengakibatkan kemusnahan negeri Kedah.

Angkatan Siam


Dalam tahun 1771, orang-orang bugis sekali lagi memainkan peranan dalam tampuk pemerintahan negeri Kedah apabila mereka memihak kepada kumpulan pemberontak untuk menggulingkan sultan. Mereka berjaya menakluk Kota Kuala Kedah dan merampas 300 pucuk meriam pelbagai saiz dalam serangan tersebut. Bagaimanapun, Sultan berjaya merampas kembali Kota tersebut dengan bantuan pedagang Inggeris, Kapten Francis Light. Kapten Light berjanji akan menggunakan Kota tersebut untuk melindungi negeri Kedah dari serangan musuh, terutamanya SIAM. Bagaimanapun janji tersebut tidak pernah ditepati di mana mereka pula yang bersekutu dengan Siam.

Peluru meriam yang ditemui sekitar kota


Pada tahun 1771, Sultan Abdullah Mukaram Shah bercadang untuk menguatkan lagi kota ini dengan membeli meriam-meriam yang lebih besar seperti yang digunakan oleh musuh-musuhnya, Siam dan Bugis. Dinding kota diperkuatkan dengan batu-bata yang lebih kukuh. Ciri-ciri yang lebih moden seperti lubang untuk menempatkan senapang dan meriam juga dibina pada kota ini. Meriam-meriam yang lebih besar dibeli dari Acheh, Minangkabau dan Brunei. Pembinaan siap sepenuhnya pada tahun 1780.

Ancaman pertama dari Siam menjelma pada petang Ahad 12 November 1821 bilamana satu angkatan perang dari Siam yang tidak diketahui tujuannya belayar ke Kuala Kedah. Mereka disambut dengan meriah oleh Bendahara Dato' Paduka Maharaja Sura. Semasa Panglima Siam, iaitu Raja Ligor Phya Buri Sakmuton dibawa melawat sekitar Kota Kuala Kedah beliau secara tiba-tiba mengarahkan askarnya menyerang para pengawal di dalam kota tersebut. Maka berlakulah pertempuran hebat di dalam kota itu. Akhirnya angkatan Siam berjaya menawan kota tersebut. Angkatan perang Kedah bersama sultan terpaksa berundur dan bertahan di Pulau Pinang. Di sini, mereka merancang strategi untuk merampas kembali negeri Kedah dari Siam.
      
Pada tahun 1831 putera sultan sendiri, Tengku Kudin telah mengetuai 3000 angkatan perang orang Melayu dari Prai telah menyerang Siam di Kedah dan menghalau mereka jauh hingga ke sempadan Siam. Kerajaan Siam dan British telah mengisytiharkan orang-orang melayu ini sebagai perompak, lanun dan pengganas. Kemenangan angkatan Kedah tersebut tidak lama di mana mereka kembali diasak Siam dan terpaksa berundur dan bertahan di kota Kuala-Kedah. Kapal-kapal perang British pula mengepung sepanjang persisiran pantai Kedah manakala tentera Siam menyerang dari darat. Kekebalan benteng Kota Kuala-Kedah menyebabkan pihak Siam terpaksa membina menara tinggi untuk menembak orang melayu di dalam kota tersebut. Setelah bertahan selama 3 bulan dan bertempur menentang 7500 askar dan 3000 gajah dari Siam, Kota Kuala-Kedah akhirnya jatuh ke tangan Siam. Tengku Kudin sendiri terbunuh dalam pertempuran tersebut dan kepalanya telah dihantar ke Bangkok.

Pada tahun 1838, sekali lagi angkatan perang Kedah diketuai oleh seorang lagi kerabat sultan, Tunku Mohammad Saad yang berkekuatan 10,000 askar dan 50 perahu perang dilengkapi meriam ringan telah mengusir Siam keluar dari Kedah melepasi Singora (Songkhla). Mereka juga berjaya membebaskan Patani dari naungan Siam buat seketika. Mereka bertahan di Songkhla sementara menunggu musim monsun tiba di mana bantuan askar melayu dari negeri2 sekitar dijangka tiba. Orang Eropah yang berkedudukan tinggi (gentry) di Pulau Pinang menolong baginda dengan menyediakan senjata dan bekalan. Tetapi tidak lama kemudian Kerajaan Negeri Selat memberi bantuan kepada Siam. Angkatan Tunku Muhammad sekali lagi terpaksa berundur dan bertahan di Kota Kuala-Kedah buat kali terakhir.

Bantuan dari Bangkok tiba bersama 15000 tentera dilengkapi senjata yang lebih moden, meriam dan gajah menyerang kota dari arah darat. Dari sebelah laut, kapal perang British HMS Hyacinth yang berkekuatan 18 laras meriam mengepung dari laut. Kapal tersebut terpaksa berlabuh jauh dari pantai untuk mengelakkan bedilan meriam dari dalam kota kuala kedah. Kapal tersebut turut diiringi oleh 3 buah lagi kapal perang yang lebih kecil iaitu HMS Emerald, HMS Pearl dan HMS Diamond.

Pada 19 Mac 1839 pekan Kuala-Kedah dikuasai sepenuhnya oleh askar Siam dan penembak hendap mereka ditempatkan di setiap sudut pekan tersebut. Orang Melayu yang ada ketika itu semuanya dibunuh dengan kejam. Menyedari harapan untuk menang adalah tipis dan kota akan jatuh ke tangan Siam pada bila-bila masa saja, pada malam tersebut orang melayu dibantu oleh askar upahan Sepoi membuat serangan berani mati ke atas kedudukan Siam di pekan tersebut. 15 askar Sepoi melepaskan tembakan bantuan ke arah askar Siam. Sementara itu saki-baki orang melayu yang tinggal diarahkan menyelamatkan diri dengan berenang ke arah kapal-kapal Inggeris. Kapten dan para kelasi kapal2 tersebut yang terdiri kebanyakannya dari orang melayu Negeri-negeri Selat turut merasa simpati di atas apa yang terjadi dan terpaksa menyelamatkan orang melayu yang berenang ke kapal-kapal tersebut..

Angkatan Tunku Muhammad yang bertahan di dalam kota hanya tinggal 200 orang. Menyedari mereka dikepung dari setiap sudut dan kemungkinan untuk menang adalah tipis, orang Melayu ketika itu terpaksa berjuang habis-habisan. Pada Subuh 20 Mac 1839, Kota Kuala-Kedah berjaya ditawan sepenuhnya oleh Siam dan kesemua mereka yang mempertahankan kota tersebut turut terkorban. Mulai dari tarikh tersebut, bedilan dari meriam-meriam dari kota tersebut tidak lagi kedengaran sehinggalah ke hari ini.

Sultan Ahmad Tajuddin yang semakin tua masih tidak berputus asa untuk mendapatkan kembali negerinya. Setelah cara ketenteraan gagal, baginda mencuba pula cara berdiplomasi. Baginda telah menghantar putera bongsunya, Tunku Dai untuk mengadap King Rama III. Dalam pertemuan tersebut, Tunku Dai berjanji akan mengakui kedaulatan Siam dengan syarat Sultan Kedah dikembalikan takhtanya.

Setelah berperang selama hampir 21 tahun, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dipulihkan takhtanya pada Jun 1842. Baginda telah kehilangan Perlis (diperintah rajanya sendiri) dan Setul/Satun (dimasukkan ke dalam jajahan Siam) tetapi telah berjaya menyelamatkan negeri Kedah dari diperintah terus oleh Siam seperti yang terjadi ke atas Patani dan berjaya mengekalkan institusi raja melayu sehinggalah ke hari ini. Baginda mangkat pada 1 Januari 1845.

Bagi pihak British pula, inilah pengalaman pertama yang mereka rasai berperang dengan orang Melayu sehinggakan Kapten Sherard Osborn, Pegawai Tentera laut British ketika perang Kedah-Siam 1838 telah membuat kenyataan berikut:     
"Seperti anjing… pribumi (yakni org India) di sepanjang persisir pantai semenanjung India menjilat tangan yg mendera mereka;
Tetapi tidak bagi orang Kedah! dan kita orang Inggeris seharusnya menjadi yang pertama memuliakan bangsa yang tidak tunduk kepada kekejaman"

Source:

Thomson, John Turnbull, "Glimpses Into Malayan Lands", Oxford University Press 1984 (first published by Richardson and Company, 1864). RM 22.00

'The Blockade of Kedah in 1838: A Midshipman's Exploits in Malayan Waters' by Sherard Osborn (1857), reprinted by Oxford University Press (1987) (ISBN 0 19 588860 X). Price RM 52.80



Disalin Dari Blog: http://war-story.blogspot.com/2009/12/kota-kuala-kedah.html